LEICESTER CITY 2 EVERTON 0

Jamie Vardy berkata pengurus baru Leicester City, Claude Puel, tidak membuat sebarang perubahan drastik sebelum pasukannya menang 2-0 ke atas Everton dalam Liga Perdana di Stadium King Power, awal pagi tadi.


Vardy menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-18, menyudahkan dari jarak dekat selepas menerima hantaran tinggi Riyad Mahrez, sekali gus mengingatkan kepada musim berjaya Leicester.

Demarai Grey meraih gol kedua 11 minit kemudian, bola tendangannya masuk selepas tertampan kaki Jonjoe Kenny ketika pemain pertahanan Everton itu berusaha mengeluarkannya, dan skuad Puel hanya membenarkan Everton membuat dua percubaan tepat sepanjang perlawanan.

Vardy, yang berkata dia tidak sabar untuk meneruskan aksi di bawah bimbingan Puel, memberitahu Sky Sports: "Bos itu masuk dan berkata, untuk permainan ini dia tidak mahu banyak mengubah.

"Beberapa pembaharuan taktikal dan ia berhasil. Pemain telah berusaha dan kami mendapat tiga mata.

"Kami akan bermain minggu depan dan kita akan lihat apa yang pengurus bawa masuk," ujarnya.

Puel, yang mesti mempersiapkan pasukan untuk kehadiran Manchester City dan Tottenham Hotspur di Leicester, ditanya sama ada kemenangan itu merupakan permulaan yang sempurna bagi pasukannya.

"Sempurna -- saya tidak tahu," katanya. "Ia sangat menarik. Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama. Satu kombinasi yang baik untuk gol pertama. Ia lebih sukar dalam babak kedua kerana Everton cuba memulihkan aksinya.

"Tetapi kami lihat pasukan baik dan kuat bekerjasama, hasilnya sangat baik.

"Ia penting untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat dan suasana ini sangat hebat.

"Saya menikmati kemenangan untuk pemain dan peminat, kami terus berusaha, ia hanya permulaan. Ia penting untuk meneruskannya," katanya lagi.