JDT 1 KEDAH 0
(JDT mara denga agregat 1-0)

Jaringan tunggal bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, membawa juara 2019 itu ke separuh akhir Piala Malaysia 2021 dengan mengecewakan Kedah Darul Aman 1-0, sebentar tadi.


Pemain berusia 19 tahun itu jelas menjadi duri dalam daging buat Lang Merah menerusi beberapa percubaan menarik termasuk rembatan deras untuk jaringan pada minit ke-40 dalam pertemuan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim berkenaan selepas aksi Ahad pertama lalu berakhir tanpa jaringan.

Walaupun Kedah cuba mengatur beberapa asakan berbahaya terutama menerusi serangan balas, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre terus buntu untuk merobek gawang tuan rumah.

Sementara itu, Terengganu tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Sarawak United 4-2 bagi kemaraan dengan agregat 6-3.

Dua watak pemusnah dalam pertemuan di Stadium Likas minggu lalu, Halim Faisal dan Faiz Nasir, mengulangi rentak jaringan mereka selain gol berganda Jordan Mintah -- untuk jaringan pembukaan dan penutup.

Selepas membenarkan Terengganu mendahului 4-0, kebangkitan lewat anak buah E Elavarasan itu dengan dua gol pada 20 minit terakhir permainan di Stadium UiTM, Shah Alam, sudah tidak membawa sebarang erti kepada wakil Liga Perdana berkenaan.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka United juga tidak mensia-siakan kelebihan apabila mengorak langkah dengan agregat 3-1.

Tuan rumah bimbingan Zainal Abidin Hassan tidak berlengah untuk melebarkan bekalan 1-0 dengan menggegar gawang Sabah seawal minit ke-3.

Sony Norde terus menyulitkan usaha Sang Badak untuk bangkit dengan jaringan pada minit ke-78 sebelum gol sagu hati pertahanan, Risto Mitrevski, menyusul pada masa kecederaan.

Dalam masa sama, Romel Morales terus menghantui kem Selangor apabila gerakan penyudahnya sekali lagi memberikan kelebihan 1-o buat Kuala Lumpur City di Stadium KLFA untuk kemenangan agregat 3-0.