K. Devan antara tulang belakang Negeri Sembilan menjulang trofi Liga Perdana musim ini mendedahkan dia menghadapi cabaran besar apabila terpaksa merombak keseluruhan pasukan ketika dilantik pada Disember tahun lalu.

Berbekalkan tiga pemain sahaja daripada skuad 2020 dengan salah seorangnya adalah pertahanan, Annas Rahmat, dan tanpa pemain bintang selain Zaquan Adha Abdul Radzak, ketua jurulatih itu mencipta resipi terbaik untuk pacu skuad Jang menjulang untuk layak ke Liga Super musim depan.

Negeri Sembilan mengamuk di Stadium Paroi, malam tadi apabila ledak empat gol ketika menentang PDRM, masing masing menerusi R. Barathkumar dan gol sendiri oleh Eskandar Ismail dalam babak pertama, sebelum Alain Akono dan Fahmi Faizal menyumbang dua lagi gol dalam babak kedua untuk kemenangan 4-2.

"Saya memulakan awal karier kejurulatihan bersama Negeri Sembilan tapi kali ini situasinya berbeza sebab sudah lapan tahun Negeri Sembilan tidak bermain dalam Liga Super.

"Bila saya datang, ia tanggungjawab yang agak besar.

"Kami terpaksa buat perubahan drastik pada 2020," kata anak jati berusia 54 tahun itu.





Ketua pasukan, Zaquan Adha, turut berpeluang untuk menambah koleksi peribadi musim, tetapi sepakan penaltinya diselamatkan penjaga gol The Cops, Hamka Daud, namun ia tidak merencatkan sambutan gemilang di laman sendiri.

Dua misi sudah pun terlaksana, justeru tumpuan skuad Hobin Jang Hobin kini adalah untuk merebut kejuaraan terakhir dipertandingkan musim ini iaitu Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan C di samping Kedah Darul Aman, Melaka United dan seteru daripada Liga Perdana yang menduduki tempat kelima.

Kali terakhir Negeri Sembilan berjaya mendakap piala berprestij itu adalah pada 2011.

"Insya-Allah kami akan buat yang terbaik.

"Semua tahu Piala Malaysia adalah satu pertandingan berprestij dan kami sentiasa dalam kedudukan 'underdog'.

"Tapi air yang tenang jangan disangka tiada buaya," katanya pula.