AJAX 4 SPORTING LISBON 2

Erik ten Hag memuji pencapaian cemerlang Ajax selepas kelab gergasi Belanda itu melakar sejarah ketika menamatkan kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL).


Ajax menang kesemua enam perlawanan Kumpulan C berikutan kejayaan 4-2 ke atas Sporting CP di Amsterdam, awal pagi tadi.

Dengan kejayaan itu, Ajax muncul pasukan Belanda pertama yang memenangi keenam-enam perlawanan peringkat awal UCL.

Ajax turut mencipta enam rentetan perlawanan ketika menjulang trofi Piala Eropah pertama mereka.

"Untuk memenangi satu perlawanan dalam UCL pun sudah cukup sukar tetapi untuk memenangi enam perlawanan berturut-turut adalah satu pencapaian yang cemerlang," kata pengurus yang dikaitkan dengan jawatan di Manchester United itu.

"Keamatan adalah baik sepanjang perlawanan ini. Anda boleh lihat tekanan yang kami berikan kepada pihak lawan yang membawa kepada gol kedua Antony."





Sebastien Haller memecah rekod UCL yang dipegang oleh bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, apabila memberikan Ajax jaringan pendahuluan, sekali gus mengulangi pencapaian Cristiano Ronaldo.

Haller menokok jumlah jaringannya musim ini kepada 10 gol dalam enam penampilan untuk menjadikannya pemain terpantas mencapai dua angka dalam karier UCL selepas Haaland melakukannya dalam tujuh perlawanan.

Tonggak Ivory Coast tersebut juga muncul sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam perlawanan pembukaannya kempen itu.