Persekutuan Bolasepak Senegal (FSF) menyeru Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) agar menyemak semula peraturan 'fair play' yang mengakibatkan wakil Afrika itu tersingkir daripada Piala Dunia Russia, minggu lalu.

Tersungkurnya Senegal 1-0 kepada Colombia dalam aksi terakhir Kumpulan H bermakna mereka menduduki tangga ketiga di bawah Jepun ekoran koleksi enam kad kuning berbanding empat yang dikumpulkan seteru mereka itu.

Sistem kiraan 'fair play' diperkenalkan buat julung kalinya dalam Piala Dunia, lalu menyaksikan kedudukan Jepun dan Senegal yang mengumpul jumlah mata dan perbezaan jaringan yang sama diputuskan melalui kaedah baru itu.

Menyedari keadaan itu, Jepun --- layangan kad kuning boleh menyebabkan mereka tersingkir -- sekadar berjalan kaki meskipun ketinggalan 1-0 kepada Poland.

Lantaran itu, FSF memohon FIFA untuk menghukum pasukan yang mengamalkan pendekatan seperti Jepun itu.

"FIFA harus menghukum sebuah pasukan yang beraksi dengan cara itu," kata jurucakapnya, Kara Thioune, kepada BBC Sport.

"FIFA telah memperkenalkan sistem baru tetapi adakah peraturan 'fair play' boleh menyelesaikan semua masalah? Selepas perlawanan, tiada apa yang berlaku sama ada ke atas Jepun atau Poland.

"Harus ada beberapa cara untuk menghukum pemain, jurulatih atau pasukan atas sikap sedemikian," tambahnya.

FSF turut mendedahkan ia telah menghantar dua surat aduan kepada FIFA, Jumaat lalu, dengan salah satu daripadanya menyentuh mengenai 'fair play' manakala satu lagi aduan tentang mutu pengadilan sewaktu bertemu Colombia.

"FSF percaya Jepun secara teknikalnya enggan bermain sebaik mengetahui Colombia baru saja menjaringkan gol ke atas Senegal. Keengganan Jepun (untuk bersungguh-sungguh) bertentangan dengan prinsip-prinsip asas bola sepak," menurut kenyataan itu.

"Lebih memeranjatkan FSF lagi, jurulatih Jepun tidak menafikan fakta itu. Dalam sidang akhbar pasca perlawanan itu, beliau mengesahkan telah memutuskan untuk memanipulasi keputusan itu dengan mengekalkan kedudukan 0-1.

"Persekutuan Bolasepak Senegal melahirkan kekecewaan atas semangat 'fair play' yang ditonjolkan oleh pasukan Jepun. Ia mencabar pendekatan 'fair play' yang cuba diterapkan FIFA apabila ada pasukan yang tidak risau untuk mengendurkan permainan."