Frenkie De Jong percaya kempen Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA membolehkan skuad The Oranje kini kembali disegani di pentas antarabangsa.

Selepas menamatkan Piala Dunia 2014 di tempat ketiga, Belanda gagal menyertai dua kejohanan utama dan ramai meragui kemampuan mereka melepasi cabaran Kumpulan A, Liga Negara-Negara UEFA yang turut dilengkapkan dengan Perancis dan Jerman.

Namun, di bawah kendalian Ronald Koeman, mereka menduduki takhta carta sebelum menewaskan England 3-1 dalam masa tambahan ketika separuh akhir.

Bagaimanapun, Belanda terlepas peluang kejuaraan selepas jaringan tunggal Goncalo Guedes menerusi rembatan deras memastikan edisi sulung kejohanan itu menjadi milik tuan rumah, Portugal, di Estadio Do Dragao, awal pagi tadi.

"Kami telah menunjukkan kepada semua bahawa mereka perlu memandang kami serius," katanya.

"Kami telah meraih banyak pengalaman dalam aksi final. Kami masih perlu melayakkan diri ke Kejohanan Eropah tetapi akan menikmati pengalaman ini.

"Sebagai sebuah pasukan, jika anda hampir menjulang trofi, anda mahukannya. Kami tidak beraksi dengan persembahan terbaik tetapi pengalaman ini boleh diteruskan dalam saingan Euro 2020.

"Kami tidak banyak melakukan pergerakan. Saya juga begitu. Kami meraih terlalu banyak peluang untuk menyumbat gol. Aksi menentang England sangat sukar tetapi ia bukan alasan.

"Saya lebih gembira untuk menjadi juara bersama pasukan tetapi dianugerahkan anugerah individu, ia tetap satu penghormatan. Saya rasa dihormati dengan anugerah yang diberi."