Penyerang Borussia Dortmund, Ousmane Dembele, berbesar hati apabila aksi hebatnya pada musim lalu telah menarik minat kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Neymar meninggalkan Barca dan menyertai Paris Saint-Germain (PSG) menerusi perpindahan rekod dunia bernilai EUR222 juta (RM1.1 bilion), sekaligus menguatkan spekulasi Dembele bakal menggantikan pemain Brazil itu.

Selain Dembele, Philippe Coutinho dan Eden Hazard turut dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou, namun bekas pemain Rennes itu dilihat lebih berpeluang untuk menyertai skuad kendalian Ernesto Valverde itu.

“Saya mengetahui tentang minat Barca dan mereka adalah pasukan yang hebat.

“Semua pemain mahu beraksi bersama pasukan sebegitu dan satu penghargaan apabila melihat nama anda dikaitkan dengan perpindahan ke sana,” kata Dembele.

Dembele menjaringkan enam gol hasil daripada 32 penampilan bersama Dortmund dalam saingan Bundesliga musim lalu.