Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, meletakkan tanggungjawab mencipta jaringan kepada semua pemain menjelang pertemuan Liga Super dengan Selangor esok, yang menjadi misi wajib menang di laman sendiri.

Ekoran prestasi di jentera serangan yang gagal memberi kepuasan kepada Dollah akhir-akhir ini, pengendali Tok Gajah itu menyerahkan tanggungjawab mencipta jaringan ke atas semua pemain.

Tiada istilah tanggungjawab besar buat jentera serangan Pahang kerana ia kini menjadi tanggungjawab satu pasukan, merujuk kepada peluang yang hadir.

"Kami tidak mengharapkan hanya seorang dua pemain.

"Tidak kira pemain pertahanan atau tengah, saya mahu seluruh pasukan mampu menjaringkan gol.

"Ketika ini, kami menghadapi masalah, khususnya ketika cuba menembusi jarak 18 ela kawasan lawan, itu yang penting," katanya.

Pertembungan Selangor dan Pahang sememangnya istimewa buat Dollah, apatah lagi kedua-dua pasukan itu pernah merupakan pasukannya ketika bergelar pemain.

Meskipun Pahang tidak lagi menghuni takhta Liga Super ketika ini, situasi itu bukan keutamaan buat Dollah, yang lebih mementingkan pecutan pada saat-saat akhir dan mengelak daripada tertekan tatkala saingan Liga Super masih panjang.

"Ketika penghujung saingan nanti, barulah kita dapat tahu macam mana kesudahannya.

"Buat masa ini, kami menumpukan perhatian kepada satu demi satu perlawanan."