dua SEVILLA 2 REAL MADRID 3

Carlo Ancelotti mengakui Real Madrid kian menghampiri gelaran LaLiga selepas kebangkitan dramatik untuk kemenangan 3-2 ketika bertandang ke Sevilla, sebentar tadi.


Sevilla hampir menghidupkan semula perebutan sengit takhta liga apabila mendahului 2-0 hasil jaringan Ivan Rakitic dan Erik Lamela.

Bagaimanapun, keputusan pengadil, Guillermo Cuadra Fernandez, untuk tidak mengeluarkan kad kuning kedua kepada Eduardo Camavinga atas terjahan keras pada lewat babak pertama memberi kesan ketara kepada baki permainan.

Camavinga segera digantikan oleh Rodrygo dalam separuh masa kedua dan pemain Brazil itu bingkas mencipta impak untuk mengurangkan defisit gol sebaik perlawanan bersambung.



Nacho Fernandez kemudian menyamakan kedudukan ketika lapan minit menuju waktu kecederaan sebelum Karim Benzema memastikan kemenangan mutlak pada masa kecederaan.

Walaupun Barca mempunyai kelebihan dua perlawanan, Madrid kekal selesa menerajui saingan dengan sembilan mata di depan sambil dijadual berdepan Atletico Madrid dan Real Betis dalam sisa saingan.

Justeru, pengurus berbangsa Itali itu mengiktiraf Madrid sedang menuju ke garisan penamat.

Dia memberitahu LaLiga TV: "Tidak, ia belum berakhir, tetapi ia sangat dekat.

"Semua orang menunggu sahaja kekalahan Real Madrid, tetapi kami di kemuncak prestasi."