Ralf Rangnick memuji Fred sebagai sinaran matahari selepas gol kemenangan disumbat pemain tengah Manchester United memberikan permulaan kemenangan bagi pengendali sementara itu.

Jaringan pada minit ke-77 daripada pemain kebangsaan Brazil itu memastikan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace ketika Rangnick memimpin perlawanan United buat pertama kali.

Bekas pengendali Hoffenheim dan RB Leipzig itu melihat dari tempat duduk apabila United menewaskan Arsenal 3-2 awal pagi Jumaat lalu, dan ini merupakan hari pertama dia bersama pemain dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford.

Di antara sebilangan besar kemungkinan muncul pemenang perlawanan, Fred akhir menyinar dengan jaringan menggunakan kaki kanan mematahkan benteng pertahanan ampuh Eagles yang dikendalikan Patrick Vieira.

Peranan Fred yang kerap bertahan di bahagian tengah sering disebut oleh pemerhati United sebagai titik kelemahan pasukan, tetapi pada kesempatan ini dia muncul sebagai wira pasukan. Dia telah menjaringkan dua gol dalam 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Rangnick berkata: "Saya rasa semua orang menyayangi Fred. Anda perlu menyayangi Fred. Saya baru dua hari mengenalinya tetapi dia seperti cahaya matahari."