Misi sembilan mata -- itu yang menjadi sasaran ketua jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail, bagi memulihkan kembali cabaran mereka dalam Liga Perdana bermula aksi menentang Sarawak, malam ini, selepas melalui dua kekalahan berturut-turut di tangan Sabah dan MISC-MIFA.

Tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri, bermula dengan Sarawak, PDRM dan UKM perlu digunakan sebaik mungkin oleh UiTM.

Wan Mustaffa tidak mahu pemainnya terus hanyut memikirkan kekalahan dua perlawanan terdahulu, termasuk dibelasah 4-0 oleh MISC-MIFA dalam aksi terakhir.

Antara kelemahan ketara yang perlu diperbaiki sebelum berdepan Sarawak ialah di bahagian pertahanan yang melakukan kesilapan semasa menangani situasi bola mati pihak lawan.

"Pelbagai kelemahan yang telah dikenal pasti, terutama ketika bertahan dalam situasi bola mati (sepakan percuma dan sepakan sudut)," kata Wan Mustaffa.

Ketua pasukan, Afif Asyraf Zabawi, mengingatkan rakan sepasukan bahawa mereka tidak boleh lagi keciciran sebarang mata jika masih mengimpikan kedudukan dua teratas bagi memburu slot ke Liga Super.

"Banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki dan kami masih lagi berpeluang untuk memungut mata. Sarawak adalah pasukan yang berkualiti tetapi saya yakin UiTM mampu mencipta kemenangan," kata Afif.