Tiada sebarang rahsia di sebalik kejayaan Kedah Darul Aman FC menundukkan Petaling Jaya City FC dalam perlawanan Liga Super di Petaling Jaya malam tadi.

Jelas ketua jurulatih Lang Merah, Aidil Sharin Sahak, momentum kecemerlangan itu diperoleh menerusi semangat sepasukan tinggi dalam kalangan pemainnya walaupun sedang dibelenggu kepenatan.

Pengendali kelahiran Singapura itu juga kekal dengan pendiriannnya untuk tidak memikirkan gelaran naib juara Liga Super musim ini walaupun pasukannya kini berada di tangga ketiga dengan 35 mata dan berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.

"Saya fikir ia tentang semangat sepasukan kerana saya fikir semangat sepasukan kami amat tinggi," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena.

"Selepas beraksi di Terengganu, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur, jadi saya fikir ada satu ikatan yang baik sesama pemain kerana kami perlu menjaga sesama sendiri.

"Daripada itu kami akan melihat arah tuju kami. Tiada guna untuk memikirkan kedudukan di atas jika kami tidak mendapatkan keputusan yang bagus, jadi apa yang penting adalah kami perlu mendapatkan keputusan yang baik dan Alhamdulillah, kita akan melihat apa yang akan berlaku selepas itu," katanya.

Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya menyaksikan Kedah membuka jaringan menerusi Rabih Ataya pada minit keempat sebelum K. Prabakaran tertanduk bola ke gawang sendiri dalam masa kecederaan babak pertama.

Kpah Sherman meletakkan pelawat selesa dengan kelebihan tiga gol pada minit ke-56 sebelum tuan rumah merapat kedudukan hasil jaringan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-61.

Pemain gantian, Fayadh Zulkifli Amin, melengkapkan malam gemilang Kedah menerusi gol keempat dalam waktu kecederaan babak kedua, sekali gus memastikan kekalahan kelima berturut-turut buat PJ City.