Pengendali T-Team, Rahmad Darmawan, memuji moral pasukannya meskipun terpaksa berhempas-pulas mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 4-2 menerusi sepakan penalti dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Kuala Terengganu, malam tadi.

“Kami gagal bermain dengan baik pada babak pertama, namun berjaya menampilkan penguasaan dalam 45 minit kedua.

“Pemain-pemain agak kepenatan tetapi semangat juang yang tinggi membolehkan pasukan ini mengatasi keletihan yang membelenggu mereka dan saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan,” ujarnya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan pelawat terlebih dahulu mendahului pada minit keenam menerusi sepakan penalti Pavel Smolyachenko.

Lima minit babak kedua bersambung, Farhod Tadjiyev menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti selepas Mohd Nor Hakim Hassan dibentes pertahanan ATM, Mohamad Noraiman Talib.

Kemasukan Nor Hakim jelas mengubah rentak T-Team dan hampir meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-54, namun percubaannya digagalkan penjaga gol pelawat, Safril Hafizzie.

Safril sekali lagi cemerlang selepas menepis rembatan pemain sayap tuan rumah, Muhamad Azrean Abd Aziz, dari luar kotak penalti pada minit ke-74.

Kedudukan 1-1 membawa kepada masa tambahan, dengan T-Team terus menguasai permainan dan berpeluang menjaringkan gol kedua pada minit ke-112 selepas dihadiahkan sepakan penalti, malangnya sepakan Mamadou Samassa mudah dibaca penjaga gol ATM.

Samassa terus mempamerkan aksi sumbang dengan kegagalannya menyempurnakan sepakan keempat dalam penentuan penalti.

Mujur penjaga gol T-Team, Mohd Izzuddin Hussin, muncul wira tuan rumah dengan menyelamatkan dua sepakan ATM sebelum Nor Hakim menyudahkan sepakan terakhir untuk membawa The Titans ke pusingan ketiga.

“Kegagalan Samassa menyempurnakan dua sepakan penalti adalah normal dan biasa terjadi kepada mana-mana pemain.

“Dia menjaringkan gol kemenangan dalam dua perlawanan lalu, mungkin tuah tidak menyebelahinya malam ini (semalam) dan saya tidak gusar dengan prestasinya,” kata Rahmad lagi.