Gary Neville menganggap Harry Kane masih dibelenggu kekecewaan gagal berpindah selepas bintang Tottenham itu terus buntu jaringan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) kelima berturut-turut.

Ketua pasukan England tersebut belum pernah mengalami kemarau gol liga sejak Ogos 2016 dan sentuhan kurang berbisanya itu mungkin masih diselubungi kegagalannya menukar angin baru dalam kariernya.

Kane begitu hampir untuk ke Manchester City tetapi proses perpindahan itu tidak menjadi kenyataan selepas juara EPL berkenaan gagal mencapai kata sepakat dengan kelab utara London tersebut.

Dia melepaskan lima percubaan gol dalam kekalahan 'derby' 1-3 kepada Arsenal, awal pagi tadi, dan untuk menembusi Aaron Ramsdale.

"Dia tidak kelihatan gembira," kata Neville.




Dengan merujuk kepada kekalahan 0-3 kepada Chelsea dalam perlawanan terdahulu, Neville berkata: "Minggu lalu cukup berisiko dengan meletakkan Kane di sayap kiri. Dia beraksi di sayap kiri minggu lalu.

"Hari ini saya fikir dia di kedudukan yang lebih tinggi, tetapi bola yang disalurkan kepadanya sepanjang 20 minit pertama hanya hantaran jauh.

"Harry bukan dirinya sendiri daripada segi lenggok badannya. Dia seperti masih menangani situasi musim panas lalu.

"Dia pasti mampu menyumbangkan dua atau tiga gol hari ini dan memenangi sepakan penalti, tapi dia bukan dirinya sendiri. Son (Heung-min) juga begitu.

"Son dan dia seolah-olah kanak-kanak yang pecah belonnya dalam satu pesta. Begitulah rupanya."