Setelah menamatkan penantian 11 tahun untuk kembali melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, jurulatih Sabah, Jelius Ating, mula memasang impian besar untuk anak buahnya cuba merebut slot beraksi dalam final pula.

Sabah hadir ke Piala Malaysia bukanlah sebagai pasukan pilihan, namun mereka mencapai sasaran yang diletakkan Jelius untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

Kini, setelah sasaran itu dicapai, Jelius enggan anak buahnya menoleh ke belakang lagi dan cuba mencipta satu lagi kejutan apabila bakal berdepan pemenang di antara pasukan PKNS dan Perak yang bertemu dalam suku akhir kedua malam ini.

"Kami pasukan tunggal dari Borneo dan cuba membawa semangat Borneo itu.

"Saya harap kami boleh pergi lebih jauh, iaitu ke final," katanya.

Ia penantian yang cukup lama buat barisan pemain Sabah setelah kali terakhir mereka layak ke separuh akhir adalah pada edisi 2007, namun tewas kepada Perak dengan agregat 2-3.

Dalam perlawanan di Stadium Likas malam tadi, Sabah menang 1-0 hasil jaringan penalti Rodoljub Paunovic untuk menyamakan kedudukan agregat secara 2-2, yang berkesudahan memihak Sabah dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

"Jurulatih berpesan Kelantan boleh menang di Kota Bharu, maka kami pula perlu menang di Stadium Likas.

"Itu sebab itu kami berikan aksi 100 peratus kepada penyokong, seterusnya kami menang," kata Paunovic.

Sementara itu di kem Kelantan, jurulatihnya, Yusri Che Lah, akur dengan keputusan itu dan tidak menyalahkan mana-mana pihak apabila barisan anak buahnya gagal mempertahankan kelebihan satu gol yang dimiliki sebelum ini.

"Barisan pemain telah melakukan yang terbaik.

"Saya tidak mahu menyalahkan pengadil tetapi ada keadaan-keadaan yang tidak sepatutnya apabila beliau menuntut permainan 'fair play' daripada pasukan saya.

"Tetapi, langkah itu bergantung kepada kami," ujar Yusri.