'Biar tunduk asal menanduk', itulah kata-kata semangat yang dipegang pasukan Sabah dalam menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini, dengan skuad kendalian Jelius Ating itu berada dalam kumpulan yang dianggap sesetengah penyokong sebagai kumpulan maut.

Pasukan Tambadau diundi bersama-sama dengan naib juara Liga Super musim ini, Pahang, selain juara Piala Malaysia musim lalu, Perak, serta pasukan yang semakin menunjukkan peningkatan, Pulau Pinang, dalam Kumpulan C.

Walaupun mengakui mereka bukanlah pasukan pilihan, pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, tetap yakin mereka mampu mencipta kejutan seperti dalam saingan Piala Malaysia musim lalu apabila mereka mara sehingga ke separuh akhir.

"Kita hormati semua lawan...Perak, Pahang adalah pasukan elit dan merupakan pasukan Liga Super yang sudah pastinya ada kelebihan tetapi kita tetap akan cuba yang terbaik," katanya di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sementara itu, Peter berkata jangkaan penyokong terhadap pasukan Sabah selaku juara Liga Perdana musim ini pastinya tinggi, namun beliau sanggup menyahut cabaran itu dengan cuba mencipta kejutan membawa pulang piala yang belum pernah dimenangi mereka selama ini.

"Saya sedia menyahut cabaran itu kerana saya percaya dalam bola sepak, apapun boleh berlaku dan kita sendiri telah melakukannya dalam saingan Liga Perdana.

"Kita bukan pasukan pilihan untuk naik ke Liga Super dan bermain dalam Piala Malaysia tetapi akhirnya kita membuktikan bahawa dengan usaha dan kesepakatan semua, kita berjaya melakar keajaiban muncul sebagai juara Liga Perdana.

"Kita akan cuba yang terbaik dalam saingan Piala Malaysia ini dengan sasaran awal sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir," katanya.

Pencapaian terbaik Sabah dalam saingan Piala Malaysia ialah muncul naib juara sebanyak tiga kali pada 1996, 2002 dan 2003.

Dalam saingan musim lalu, pasukan Negeri Di Bawah Bayu itu juga diundi bersama pasukan daripada Liga Super, namun mereka membuktikan keupayaan apabila menjadi juara kumpulan dan seterusnya mara sehingga ke separuh akhir sebelum dikecewakan Perak.