Semangat berpasukan elemen Red Giants jumpa The Bos Gaurus

Penulis Jemputan
Julai 11, 2017 04:19 MYT
Pengendali Selangor, P. Maniam, mengharapkan aksi ampuh anak buahnya ketika berdepan Perak untuk memastikan mereka tidak pulang hampa dalam aksi Liga Super di Ipoh, malam ini.
Bagi jurulatih itu, barisan bimbingan Mehmet Durakovic itu kini berada di tahap terbaik berlandaskan prestasi dalam dua aksi terakhir.
Oleh kerana itu, Maniam mengharapkan aksi terbaik pemain-pemainnya untuk sekurang-sekurangnya merakamkan satu mata di tempat lawan.
"Semangat serta prestasi pemain import mereka berada di tahap tinggi ketika ini.
"Setakat ini, dalam tiga perlawanan (selepas rehat hari raya), kami mencatat dua kemenangan dan satu seri.
"Kami juga beraksi baik dan menampilkan corak menyerang.
"Kami perlu menjaringkan gol untuk menang dan perlu berbuat demikian ke atas Perak.
"Kami memiliki pemain berkualiti untuk melakukannya dan yang paling penting, kami tidak boleh dibolosi," katanya.
Dalam pada itu, tonggak tengah berpengalaman Red Giants, Amri Yahyah, turut mengharapkan aksi terbaik rakan sepasukannya.
Bagi Amri, kerjasama erat sepasukan penting untuk menangani lawan sukar seperti The Bos Gaurus.
"Bukan saya atau Andik Vermansyah sahaja penggerak pasukan Selangor.
"Tetapi, semua pemain yang ada dalam pasukan adalah penggerak untuk kami bangkit.
"Saya harap semua pemain dapat memberikan sumbangan terbaik dalam perlawanan itu nanti," ujar pemain kebangsaan itu.
#bola sepak #Ipoh #Liga Super Malaysia #Selangor #P.Maniam