Selepas Cassio De Jesus, giliran pemain tengah import kelahiran Afghanistan, Mustafa Zazai, pula secara rasmi mengesahkan meninggalkan The Red Warriors (TRW) sebelum jendela kedua perpindahan pemain ditutup malam ini.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang mempunyai pengalaman luas beraksi dalam Liga Eropah dan Asia, jelas kecewa dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) apabila melibatkan pembayaran gaji dan kebajikan pemain.

"Betul. Saya sudah tinggalkan Kota Bharu. Tinggalkan Kelantan.

"Sudah tiga bulan saya tidak menerima gaji dan terpaksa keluar daripada tempat penginapan kerana KAFA tidak bayar sewa," katanya.

Mustafa mengakui sudah menerima beberapa tawaran daripada kelab Thailand tetapi belum membuat keputusan.

"Alhamdulillah, ada dua kelab dari Liga Thailand yang cuba mendapatkan khidmat saya.

"Saya masih berfikir dan tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan," katanya.

Mustafa, yang telah menerima panggilan negaranya untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang Tajikistan, 7 Jun ini, tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia Kelantan yang dianggapnya begitu hebat.

"Saya sayangkan Kelantan dan penyokongnya. Insya-Allah, ada rezeki jumpa lagi," ujarnya.

Kredit Foto: Abe Jera