Dengan pengalaman yang dimiliki Tan Cheng Hoe dalam mengharungi perlawanan-perlawanan yang getir semasa bersama skuad Kedah dan Malaysia telah banyak membantu beliau dalam mencorakkan strategi permainan ketika bertemu Terengganu di peringkat separuh akhir pertama Piala Malaysia kelmarin.

Dengan reputasi Selangor sebagai pemenang Piala Malaysia sebanyak 33 kali, Tan Cheng Hoe telah berjaya memgeluarkan Gergasi Merah daripada masalah prestasi yang tidak konsisten sebelum ini.

Akhirnya, saat yang dinanti-nantikan telah tiba apabila skuad kesayangan rakyat Selangor itu telah mencipta kemenangan yang selesa ke atas Sang Penyu di laman mereka sendiri dalam pusingan pertama separuh akhir Piala Malaysia.

Jika daripada kombinasi pemain-pemain Gergasi Merah, memang amat baik sekali di mana mereka menunjukkan persefahaman yang begitu tinggi di semua bahagian. Lihat sahaja bagaimana hantaran-hantaran pendek yang begitu yakin mereka lakukan terutama di kawasan sempit.

Begitu juga dengan ketiga-tiga jaringan yang diperolehi Selangor melalui sepakan sudut yang baik daripada Mukhairi Ajmal Mahadi yang menemui sasarannya di kawasan bahaya dan itu dipergunakan sebaiknya oleh Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem Zulpakar untuk melakukan jaringan melalui tandukan.

Dengan latihanlah mereka telah mewujudkan persefahaman yang baik serta kepercayaan yang diberikan Tan Cheng Hoe kepada anak didiknya. Tunjang kekuatan itu yang banyak membantu merubah corak permainan Gergasi Merah.

Jika pemain-pemain Selangor dapat menggekalkan rentak keyakinan dan persefahaman yang tinggi serta dapat mengikut setiap arahan yang diberikan oleh pengendali mereka itu, tidak mustahil bagi Gergasi Merah untuk terus mencipta momentum kemenangan di Kuala Terengganu nanti.

Lebih penting lagi anak didik Tan Cheng Hoe dapat menggekalkan disiplin mereka di atas padang dan ini akan membuatkan Gergasi Merah terus garang bagi terus mengejar misi mereka untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.