Pengurus Selangor, Datuk Abdul Rauf Ahmad, menegaskan skuad The Red Giants tidak memilki pilihan selain mencatat kemenangan dalam aksi Liga Super berdepan Pahang di tempat lawan malam ini.

Meskipun berdepan tugasan mencabar di Stadium Darul Makmur, Selangor tetap mengintai peluang untuk meraih keputusan positif bagi mengelak terus terjerumus ke kelompok bawahan liga.

Mereka akan tampil berbeza malam ini setelah diperkuatkan tiga pemain baru, iaitu Sandro Da Silva, Fandi Othman dan Khyril Muhymeen Zambri yang mampu memberi ancaman kepada kem Tok Gajah.

"Kami harapkan malam ini satu permainan yang baik. Walaupun tampak sukar kerana sedar kekuatan Pahang tetapi tiada apa yang mustahil dalam bola sepak," kata Rauf.

"Rekod kami berdepan Pahang juga agak baik, jadi saya yakin kami boleh dapatkan tiga mata."

Selangor mempamer aksi goyah dalam tiga perlawanan lalu apabila sekadar seri 1-1 menentang Felda United dan PJ City sebelum tumpas 0-4 di tangan PKNS FC minggu lalu.

"Kedatangan pemain baru tidak bertumpu hanya dalam aksi menentang Pahang atau Johor Darul Ta'zim (JDT), malah kami mahu memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan liga yang masih panjang. Diharapkan ia dapat meningkatkan pasukan dari semasa ke semasa," tambahnya.