Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner, menafikan pasukan Gergasi Merah itu berminat untuk menandatangani penyerang Melaka United, Sony Norde.

Sony mengumumkan kelmarin bahawa dia akan meninggalkan Melaka berikutan tidak lagi gembira bersama pasukan Hang Tuah berkenaan.

Dia dikaitkan untuk menyertai Selangor dalam jendela perpindahan kali ini tetapi Feichtenbeiner berasakan tiada keperluan untuk merombak kekuatan pasukannya, terutama selepas membelasah Sarawak United 7-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Petaling Jaya semalam.

"Kami tidak melakukannya, kami akan kekal dengan pemain import sedia ada dan kami gembira dengan pemain import kami, jadi tiada lagi tempat untuk pemain import lain.

"Dia pemain yang hebat dan saya menggemarinya tetapi buat masa ini, tiada peluang dan tiada keperluan buat kami," katanya dalam sidang media seperti yang dipertik Nadi Arena.