Pengarah Sukan Selangor, Michael Feichtenbeiner, tidak menolak kemungkinan untuk menandatangani Jordan Ayimbila dan George Attram secara tetap sejurus tempoh pinjaman kedua-dua pemain itu berakhir hujung tahun ini.

Dia bukan sahaja mengakui berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pemain terbabit, malah Feichtenbeiner merangkap pengendali Selangor II itu juga percaya pemain import baru, Alex Agyarkwa, turut mampu mengikut jejak langkah berkenaan andai beraksi cemerlang dalam Liga Perdana.

Untuk rekod, ketiga-tiga pemain itu menyertai Selangor secara pinjaman daripada kelab Ghana, Accra Lions, sementara Agyrkwa muncul rekrut terbaru Gergasi Merah dalam jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang berakhir 31 Mei lalu.





"Kami mengambil risiko rendah dengan meminjam mereka tetapi mempunyai peluang untuk menandatangani mereka secara kekal.

"Kami amat gembira dengan (prestasi) Ayimbila dan Attram jadi sudah tentu berhasrat mengekalkan mereka tetapi ia hanya boleh dilakukan musim depan.

"Begitu juga dengan (status) Alex.

"Kami yang akan memutuskan untuk menandatangani mereka pada masa depan jadi ia (satu berita) bagus untuk kami," kata pengendali dari Jerman itu.

Agyarkwa, 20, merupakan pemain tengah dan dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam lapan daripada 13 perlawanan sepanjang separuh musim liga divisyen dua Ghana musim ini.