SELANGOR 4 PKNS FC 0
PAHANG 1 PKNP 1

Selangor meraih bekalan selesa dalam aksi pertama separuh akhir Piala FA 2018 setelah membelasah PKNS FC 4-0 di Stadium KLFA Cheras, sebentar tadi.


Beraksi di laman sendiri, Selangor yang dibimbing Nazliazmi Nasir mempertaruhkan penyerang utama, Rufino Segovia, yang menyumbat lima gol di pentas Piala FA musim ini.

Percaturan itu nyata memberikan manfaat terbaik buat The Red Giants apabila penyerang dari Sepanyol itu membuka tirai jaringan pada minit ke-39, sebelum melebarkan kedudukan kepada 2-0 seminit kemudian.

Bersambung babak kedua, anak buah Nazliazmi terus mengganas apabila hanya memerlukan 11 minit untuk menjadikan kedudukan 3-0, sekali lagi menerusi Rufino, membolehkan penggempur yang telah mencatat 13 gol dalam saingan Liga Super itu merakamkan hatrik.

Lapan minit kemudian, Rufino terus menyinar setelah meraih gol peribadi yang keempat menewaskan penjaga gol, Tauffiq Ar Rasyid Johar, untuk memberikan kelebihan selesa 4-0 buat Selangor.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk membolehkan Selangor membawa bekalan selesa menjelang aksi kedua separuh akhir di Stadium Shah Alam, 30 Jun ini.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Pahang gagal menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri apabila diikat 1-1 oleh PKNP FC.

Pelawat meraih pendahuluan setelah 13 minit aksi dimulakan apabila Sukri Hamid menyempurnakan peluang di depan gol.

Kelebihan satu gol itu hanya bertahan selama 12 minit selepas pemain tengah Pahang, Wan Zaharulnizam Zakaria, menyamakan kedudukan buat skuad Tok Gajah pada minit ke-25 dan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat aksi.

Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi di Ipoh pada 1 Julai nanti.