Pengarah Teknikal Selangor, Micheal Feinchtenbeiner, mengakui ketiadaan perlawanan pemanas menggusarkannya menjelang perlawanan tertunda Selangor II dan Sarawak United pada 17 Julai ini.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Lembah Klang yang sudah pun memasuki tempoh sebulan menyukarkan pergerakan kelab Liga Perdana itu untuk membuat persediaan lebih rapi.

Mereka tiada masalah daripada segi latihan namun pengendali dari Jerman itu menegaskan persiapan untuk menghadapi pusingan kedua Liga-Malaysia tidak sempurna tanpa aksi persahabatan.

"Inilah cabaran yang perlu kami hadapi.

"Saya gembira kami akan kembali beraksi tapi kami pasti akan bermula 'dingin' berikutan tidak dapat mengadakan sebarang perlawanan persahabatan.

"Tiada langsung peluang untuk mengatur sebarang aksi (ujian) termasuk hujung minggu ini," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.





Feichtenbeiner juga mengesahkan Stadium Lumut di Manjung menjadi venue pilihan buat Selangor andai PKPD bersambung.

Stadium Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pula menjadi lokasi Gergasi Merah mengatur aksi persahabatan sebagai persediaan terakhir sebelum sepak mula sebenar pada 24 Julai.

"Mungkin ini satu pilihan yang baik. Kami lebih dekat dengan Manjung.

"Tahun lalu kami juga sempat mengatur perlawanan di UPSI."