Penyerang veteran, Mohd Amri Yahyah, meluahkan walaupun pernah bersama pasukan lain perasaannya setiap kali menyarung jersi Selangor cukup berbeza dan itu menjadi tonik mengapa dia mampu tampil luar biasa bersama skuad Red Giants, musim ini.

Amri menjadi watak penting di sebalik kejayaan Selangor mara ke perlawanan akhir Piala FA musim ini biarpun usianya sudah mencecah 37 tahun.

Prestasi Amri nyata cukup berbeza semasa dia bersama Melaka dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini, seolah-olah tuahnya ada bersama Selangor.

Menurutnya, bermain mewakili negeri kelahirannya jelas satu motivasi utama dan dia kini bersedia mengulangi kejayaan 2009, iaitu kali terakhir membantu Selangor mengucup Piala FA.

"Ini adalah tempat asal usul saya, di mana saya memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak. Insya-Allah, Sabtu ini akan membawa piala kepada Selangor.

"Saya akan memainkan peranan bebas di dalam padang dan ia adalah taktikal jurulatih. Saya harap gaya permainan itu dapat membuatkan saya bermain dengan lebih baik," ujarnya.

Dalam pada itu, pertahanan muda, Muhd Amirul Ashraf Ariffin, seperti tidak menyangka di kala usia baru mencecah 20 tahun, dia sudah menjadi sebahagian legasi Selangor.

Bersyukur diberi peluang yang jarang didapati pemain sebayanya, Amirul berharap aksi final menentang Pahang, Sabtu ini, akan diakhiri dengan kenangan manis.

"Ini adalah peluang terbaik untuk saya. Bukan mudah merebut kesebelasan utama pada usia muda di dalam skuad yang penuh dengan sejarah.

"Ini adalah tempat saya menimba ilmu dengan umur yang muda untuk kekal konsisten bagi perlawanan akan datang," kata Amirul.