Kelibat bekas import Kedah, Sandro da Silva, menjadi taruhan utama Selangor untuk mengubah aksi buruk mereka dalam saingan awal musim selain kehadiran Khyril Muhymeen Zambri dan pertukaran pemain PKNS, Fandi Othman, dengan K. Kannan.

Kesukaran yang dihadapi Selangor memaksa pihak pengurusan membuat rombakan sebelum terlambat dengan kemasukan tiga muka baru itu.

Tiga tahun Sandro bersama Kedah menjadi kriteria lengkap untuk pemain kelahiran Brazil itu mencuri tumpuan ketua jurulatih, B. Sathianathan, dan pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Pengurus pasukan, Datuk Abdul Rauf Ahmad, masih belum dapat memastikan sama ada kudrat Sandro akan terus digunakan atas faktor kepenatan ekoran penerbangan yang panjang.

"Kami berasakan keserasian tidak dapat dicapai oleh barisan pemain tempatan dan import Selangor. Kami dapat melihat Sandro memiliki pengalaman yang baik bersama Kedah dan pihak pengurusan segera mengambil khidmatnya," katanya.

Sementara itu. Khyril Muhymeen yang melepasi ujian kecergasan hari ini telah pun disahkan selaku muka baru Selangor.

"Khyril boleh beraksi di bahagian kiri bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Wan Zack Haikal kerana mengalami kecederaan."

Tiga muka baru itu bakal menjadi sandaran utama Selangor menjelang dua aksi penting berdepan Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT).