Thomas Tuchel memahami mengapa terdapat banyak persoalan mengenai aksi mengecewakan yang dipamerkan Romelu Lukaku kerana dia sendiri tidak pasti apa yang sedang membelenggu penyerang itu.

Pemegang rekod pemain termahal The Blues itu hanya menjaringkan satu gol dalam lima penampilan terakhirnya, di mana jaringan tunggal itu terhasil ketika menentang Chesterfield dalam Piala FA.

Kepayahan Lukaku, yang secara kebetulan terjadi selepas dia kembali dibenarkan beraksi susulan satu temu bual kontroversi, jelas kelihatan sepanjang beberapa perlawanan liga kebelakangan ini.

Dia hanya menyentuh bola sebanyak 21 kali ketika pasukannya tewas 0-1 kepada Manchester City minggu lalu -- paling sedikit dalam kalangan 11 pemain utama kedua-dua pasukan -- dan 18 sentuhan ketika terikat 1-1 dengan Brighton and Hove Albion pada Rabu lalu.

Daripada tiga percubaan yang dilakukannya sepanjang dua perlawanan itu, pemain berusia 28 tahun berkenaan berhasil melakukan dua percubaan tepat tetapi masih gagal berada dalam senarai penjaring sehingga ia mencetuskan kritikan masyarakat.

Menjelang perlawanan Chelsea menentang seteru setempat, Tottenham, awal pagi Isnin ini, Tuchel berkata amat sukar untuk mengenal pasti apa yang menjadi punca sehingga Lukaku gagal menyerlah setelah kepulangannya ke pangkuan Chelsea.

"Selamat datang ke dunia realiti," katanya dalam sidang media ketika ditanya adakah kritikan terhadap Lukaku merupakan sesuatu yang tidak adil.

"Kita sentiasa menjadi tumpuan, dihakimi, semua kami melaluinya setiap hari. Ia memang seperti itu. Jika anda seorang pemain yang baik, jika segalanya berjalan dengan baik, orang akan bercakap tentang anda.

"Jika tidak, orang yang sama juga akan bercakap tentang anda. Ia sebahagian daripada bidang ini, sama ada anda suka atau tidak.

"Tiada apa lagi untuk diperkatakan," katanya.



Tuchel menambah: "Saya tidak tahu bagaimana untuk bercakap mengenai prestasinya. Ia amat jarang dalam bola sepak, di mana anda ada situasi atau masalah dengan satu-satu penyelesaian.

"Ia sentiasa terdapat pelbagai pengaruh. Dia sudah terlibat dengan banyak perkara. Dia bergelut. Kami sudah berbincang mengenai puncanya.

"Tetapi dia bukan satu-satunya pemain yang boleh kami harapkan untuk memenangi perlawanan. Tiada apa yang istimewa dengannya."