Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menuntut aksi terbaik daripada pasukan The Bos Gaurus dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, esok.

Menurutnya, menang atau kalah adalah perkara kedua kerana apa yang lebih penting adalah kesungguhan pemain dalam memberikan aksi terbaik.

Beliau juga menuntut pemain memanfaatkan peluang yang terhidang bagi membawa kejayaan kepada pasukan.

"Sebelum ini, serangan Perak agak tumpul tetapi dengan kedatangan Ronaldo (Henrique Silva) dan Raianderson Da Costa Morais atau Careca, masalah itu semakin dapat diatasi.

"Cumanya saya minta supaya mereka tidak mensia-siakan peluang menjaringkan gol.

"Dalam perlawanan sebelum ini, Perak menang 3-1 tetapi banyak peluang keemasan tidak diambil," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Dewan SMK Lambor Kiri, hari ini.

Dalam masa sama, Ahmad Faizal menasihatkan penyokong agar sentiasa berdisiplin dan berhati-hati memandu sepanjang ke Pahang.

"Saya berharap kita dapat memberi sokongan kepada pasukan tanpa perlu mendatangkan rasa kurang senang kepada penyokong pasukan lain.

"Kita sepatutnya menikmati bola sepak tanpa mendatangkan apa-apa masalah," katanya.