Michael Jakobsen menegaskan Denmark akan bergelut jika Australia mampu mengekang Christian Eriksen dalam saingan Piala Dunia dan kecederaan William Kvist merupakan satu lagi tamparan buat lawan.

Eriksen tanpa diragui merupakan pemain berpengaruh buat Denmark dan bintang Tottenham itu berjaya mengumpan Yussuf Poulsen untuk menjaringkan gol ketika meraih kemenangan 1-0 ke atas Peru dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

Pemain berusia 26 tahun itu akan sekali lagi menjadi ancaman ketika Denmark berdepan Australia di Samara, esok.

Jakobsen, bekas pemain kebangsaan Denmark yang kini bermain untuk Adelaide United, menyatakan tugas utama Australia adalah menyekat setiap pergerakan Eriksen.

"Jika mereka mampu mengekang Eriksen, Denmark akan bergelut," katanya.

"Dia adalah pemain utama pasukan ketika menyerang."

Jakobsen turut melihat Pione Sisto sebagai salah seorang tonggak utama Denmark, dengan penyerang Celta Vigo itu mampu memberikan masalah buat Australia.

Bagaimanapun, Jakobsen menyedari kehilangan khidmat pemain tengah, Kvist –- yang patah tulang rusuk ketika bertemu Peru –- akan menggugat kelancaran permainan Denmark.

"Mereka tidak memiliki pemain yang mampu mengisi kekosongannya.

"Kvist banyak membantu ketika bertahan dan menutup ruang ketika pasukan lawan melancarkan serangan."

Jakobsen juga percaya Perancis -- yang menewaskan Australia 2-1 dalam aksi pembukaan -- akan memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulannya.