Penyerang import Selangor, Rufino Segovia, melaungkan keyakinan untuk meledak 20 gol sebelum tamat musim ini bagi merebut gelaran penjaring terbanyak Liga Super 2018.

Segovia kini memimpin carta penjaring Liga Super dengan 14 gol, dibezakan satu gol dengan penyerang Terengganu, Tchetche Kipree, yang mengumpul 13 gol setakat ini.

Biarpun gagal membantu Selangor menjulang Piala FA apabila tewas kepada Pahang, Sabtu lalu, penggempur dari Sepanyol berkenaan masih lega apabila bergelar penjaring terbanyak saingan itu dengan keseluruhan sembilan gol.

Dia berpeluang menebus kekecewaan itu apabila Gergasi Merah bertandang ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, menentang pasukan tercorot liga, Kelantan, malam esok.

"Kami mahu bermula baik dan saya juga ingin menyumbat gol.

"Di samping itu, saya juga ingin meledak seberapa banyak gol yang mungkin selain yakin mampu melakar 20 gol musim ini, " kata penyerang itu.

Pertemuan sebelum ini menyaksikan Segovia meledak hatrik ketika kedua-dua pasukan bertemu pada 1 Jun lalu dengan Selangor mencatat kemenangan 4-0 di Stadium Shah Alam.

Dengan berbaki lima perlawanan, Segovia bertekad menambah bilangan jaringan untuk menjarakkan diri dengan pencabar yang lain.

"Kami perlu bangkit dan membuktikan bahawa kami sebuah pasukan handalan.

"Aksi malam esok amat penting untuk kebangkitan kami," tambahnya.