Penyerang import Selangor, Rufino Segovia, melakar hatrik untuk membantu pasukannya menamatkan kemarau kemenangan dengan menundukkan Kelantan 4-0 dalam aksi Liga Super, semalam.

Selangor turun berdepan Kelantan dengan misi meraih tiga mata penuh selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan.

Tuan rumah garang membuka tirai jaringan pada minit ke-31 melalui Segovia sebelum pemain kelahiran Sepanyol itu menggandakan jaringan empat minit kemudian.

Dua gol itu terus melonjakkan semangat Gergasi Merah apabila giliran Evan Dimas pula mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-38.

Segovia menambah derita Kelantan pada minit ke-82 bagi melengkapkan hatriknya menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol lawan.

Kedudukan 4-0 kekal sehingga wisel penamat, sekali gus melonjakkan kedudukan Selangor ke tangga kelapan tatkala Kelantan kekal di dasar liga.

"Empat perlawanan tanpa kemenangan agak menyukarkan Selangor.

"Alhamdulillah, pemain dapat melaksanakan tugas dengan baik serta turun beraksi tanpa tekanan walaupun kita tahu, tiga mata amat penting untuk memperbaiki kedudukan kami dalam liga," ujar jurulatih, Nazliazmi Nasir.

Sementara itu, pengendali Kelantan, Fajr Ibrahim, mempunyai sebab tersendiri mengapa anak buahnya kecundang apabila berkata: "Ini adalah normal. Pasukan (saya) tidak mempunyai padang latihan.

"Kami tidak dapat menerapkan latihan taktikal, tambahan pula anak buah saya tidak mempunyai pengalaman."