Sean tekad mahu jadi penyerang terbaik

Penulis Jemputan
Disember 19, 2017 13:11 MYT

Penyerang Selangor, Sean Eugene Selvaraj, mahu membina semula masa depannya bersama The Red Giants sebagai antara penyerang terbaik negara selepas digugurkan buat kali ketiga daripada skuad bawah 23 tahun negara.

"Seperti yang jurulatih P. Maniam beritahu, dia mahu membina saya menjadi antara penyerang muda terbaik dalam negara. Saya percaya kepadanya untuk membantu Selangor," kata pemain baru Selangor itu.
Sean adalah antara tiga nama yang disisihkan skuad B-23 negara yang kini menjalani latihan pusat fasa kedua di Mokpo, Korea Selatan untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China bulan depan.
Mengulas mengenai perkara itu, Sean berkata: "Saya sudah memberikan yang terbaik tetapi mungkin jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) fikir saya belum bersedia. Ia bagus untuk saya meningkatkan lagi mutu sebagai pemain.
"Saya harap selepas saya menyertai Selangor, mungkin ia membuka semula peluang dalam skuad negara. Saya mendoakan yang terbaik untuk pasukan negara dalam Kejohanan AFC," ujarnya.
Selain itu, empat pemain import bakal menghiasi Selangor pada musim baru dan mereka adalah dua pemain Asia Tenggara yang berasal dari Indonesia, Evan Dimas dan Ilham Armaiyn, serta Rufino Segovia (Sepanyol) dan Willian Pacheco (Brazil).