Sean Selvaraj membawa watak wira Negeri Sembilan FC ketika bangkit menewaskan Selangor FC 3-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Petaling Jaya semalam.

Lebih menarik, jaringan ke atas bekas pasukannya itu turut menyaksikan Gergasi Merah tewas buat kali pertama di laman sendiri.

Selangor pada awalnya selesa berada di depan sepanjang babak pertama menerusi jaringan Herlison Caion seawal minit kelapan dan gol Yazan Al-Arab pada minit ke-30.

Bagaimanapun, Jang bangkit bergaya dalam babak kedua menerusi gol berganda Gustavo Almeida, masing-masing pada minit ke-66 dan 80, sebelum Sean melepaskan lambungan jarak jauh gemilang bagi memastikan tiga mata buat pasukan bimbingan K. Devan berkenaan.

Sean sebelum ini pernah mewakili Selangor, di mana dia kurang menyerlah sepanjang empat tahun dari 2018-2021.

Mengulas mengenai jaringannya ke atas bekas pasukannya itu, dia berkata kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly: "Kalau saya katakan pasti anda tidak akan percaya, ramai rakan sepasukan juga mempersendakan saya kerana saya amat teruja dalam latihan sehingga jurulatih juga agak pelik.

"Sudah pasti saya mempunyai sesuatu untuk dibuktikan kerana saya tidak dapat menyambung kontrak dengan Selangor dan kembali ke Negeri Sembilan.

"Untuk datang ke pentas ini dan menjaringkan gol kemenangan untuk Negeri Sembilan, saya rasakan tiada apa lagi untuk saya buktikan.

"Kerana saya rasa saya sudah membuktikannya tahun lalu dan saya mahu membuktikannya sekali lagi bahawa saya seorang pemain yang berbakat dan perlu diberikan peluang.

"Dengan ini juga, saya berharap dapat membuka pintu untuk saya dapat bersama skuad kebangsaan, kita akan lihatnya nanti," katanya.