Bekas penjaga gol Arsenal, David Seaman, yakin Petr Cech layak mengisi posisi pemain nombor satu The Gunners.

Cech dikritik kerana ketidakupayaannya memulakan permainan dari pertahanan seperti yang dituntut dalam taktikal Unai Emery, namun dia membuat deretan aksi menyelamat yang penting dalam kemenangan 2-0 ke atas Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.

Baru-baru ini, timbul cadangan agar posisi itu diserahkan kepada muka baru, Bernd Leno, secara kekal tetapi Seaman -- yang bermain untuk The Gunners di antara tahun 1990 dan 2003 -- percaya kemampuan Cech menangkis percubaan berbahaya tidak seharusnya diketepikan.

"Dia benar-benar layak untuk berada di dalam pasukan," kata Seaman kepada pemberita dalam Majlis Anugerah Terbaik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), semalam.

"Setiap perlawanan, dia menyelamatkan empat atau lima percubaan berbahaya.

"Satu-satunya sebab Cech dipersoalkan ketika ini adalah kawalan bola di kakinya tetapi itu adalah kerana pendekatan Arsenal bukanlah cara yang tepat buat masa ini.

"Kami cuba menghantar bola terus kepada pemain di bahagian sayap dan ia tidak menjadi.

"Cech mempunyai kaki kiri yang sangat baik, kaki kanannya tidak begitu baik, jadi berikan bola di kaki kirinya.

"Ketika saya bermain, ia berbeza. Tetapi, saya benci bola di sebelah kiri, saya selalu mahukan bola di kaki kanan saya, jadi pengurus perlu tahu dan mereka perlu sedar.

"Dia banyak membantu mereka keluar daripada masalah kerana dalam setiap perlawanan, dia membuat empat atau lima aksi menyelamat," katanya lagi.