Pertahanan Juventus, Leonardo Bonucci, mengakui kejayaan merangkul Scudetto dalam edisi 2019-20 merupakan yang paling sukar daripada sembilan gelaran Serie A berturut-turut yang mereka raih dalam usaha memahami falsafah Maurizio Sarri.

Juve mempertahankan gelaran domestik mereka dengan mengesahkan kejuaraan liga menerusi kemenangan 2-0 ke atas Sampdoria di Stadium Allianz, awal pagi tadi.

Cristiano Ronaldo dan Federico Bernardeschi menemui sasaran penyudah buat Bianconeri melanjutkan rekod Serie A mereka sejak 2011-12 dengan baki dua perlawanan.

Sarri muncul pengurus tertua yang memenangi Serie A, iaitu pada usia 61 tahun, ketika meraih trofi liga sulungnya itu, tetapi kempen pertama bekas pengurus Chelsea dan Napoli berkenaan di Turin masih belum lancar.



Timbul tanda tanya mengenai pendekatan Sarri berikutan pergelutan yang dihadapi pemain bintang, Ronaldo, sementara hasrat mereka meraikannya lebih awal tertangguh berikutan kekalahan 1-2 kepada Udinese, pertengahan minggu lalu.

Bonucci mengagumi kegemilangan skuad itu sambil membangkitkan cabaran yang dihadapinya ketika di bawah era Sarri dengan mengatakannya kepada Sky Sport Italia: "Gelaran ini yang paling indah kerana ia adalah yang paling sukar (untuk dimenangi).

"Kami bermula dengan era baru, falsafah baru dan menghadapi banyak kesulitan, tetapi kami terus memberikan yang terbaik sepanjang masa, bahkan timbul begitu banyak masalah."


"Ia juga situasi yang amat rumit di luar padang, dunia berubah dalam tempoh tiga bulan," tambah pertahanan tengah Itali itu yang membincangkan kesan COVID-19 susulan penundaan aktiviti sukan sebelum mereka kembali beraksi bulan lalu.

"Kami harus kembali menumpukan perhatian dan kami berjaya melakukannya. Kami menginginkannya, kami menderita.

"Saya kelu. Kami mencurahkan segala-galanya demi memastikan bahawa kami akan melakukan ini untuk diri sendiri, kelab dan juga peminat yang memberi semangat kepada kami, baik dari rumah ataupun dari syurga. Kami ingin meraikannya dengan mereka yang tidak dapat berada di sini bersama-sama kami. Apabila anda menyarung jersi ini, anda tidak boleh berputus asa. Ini adalah tahun yang sengit.

"Kadang-kadang kami bergelut untuk menjelmakan falsafah jurulatih tetapi kami tetap utuh sebagai sebuah pasukan. Kami bekerja sebagai lelaki yang budiman berbanding sebagai pemain yang hebat. Kini kami akan cuba mendapatkan rehat selama 10 hari dan kemudian bersiap menghadapi sedia cabaran seterusnya."