Scott Carson menandatangani kontrak setahun dengan Manchester City selepas menghabiskan dua musim lalu secara pinjaman bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu daripada Derby County.

Bekas penjaga gol kebangsaan England itu akan sekali lagi bertindak sebagai sokongan buat Ederson dan Zack Steffen, di mana pengurus City, Pep Guardiola, memujinya sebagai "kapten di belakang tabir".

Usaha yang dilakukan pemain berusia 36 tahun itu ternyata berhasil apabila dia diturunkan buat kali pertama dalam EPL sejak Mei 2011 ketika City menewaskan Newcastle United 4-3 bagi mengesahkan kejuaraan liga musim lalu.

Jurang selama 3,645 hari di antara dua perlawana liga divisyen utama itu merupakan yang keenam terpanjang dalam sejarah kejohanan berkenaan dan merupakan yang paling lama bagi seorang penjaga gol.


"Ia merupakan satu kegembiraan dan kebanggaan untuk menjadi sebahagian daripada pasukan di City," kata Carson.

"Untuk berada di samping Pep dan staf kejurulatihannya merupakan sesuatu yang hebat dan saya rasa telah banyak belajar sejak tiba di sini pada 2019.

"Saya mahu terus mendorong penjaga gol lain yang kami ada di sini dan saya mahu memastikan pengalaman saya dapat diturunkan kepada mereka," katanya.

City akan berdepan Leicester City bagi penentuan Perisai Komuniti di Stadium Wembley pada 7 Ogos ini sebelum memulakan kempen baru EPL di laman Tottenham lapan hari kemudian.

"Manchester City","Pep Guardiola","Bola Sepak","Liga Perdana Inggeris","Scott Carson"