Pemenang Piala Dunia 2002, Luiz Felipe Scolari, memberi bayangan beliau sudah menerima tawaran untuk menggantikan Alan Pardew sebagai pengurus West Brom.

West Brom mengumumkan peletakkan jawatan Pardew berdasarkan "persetujuan bersama" pada Isnin lalu, dengan pengendali berusia 56 tahun itu gagal membantu pasukan keluar daripada zon penyingkiran dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Pardew, yang hanya berkhidmat selama empat bulan selepas menggantikan Tony Pulis pada November lalu, dihimpit dengan kekalahan lapan perlawanan berturut-turut, dengan West Brom kini ketinggalan 10 mata daripada zon selamat dengan berbaki enam perlawanan musim ini.

Scolari – yang membawa Brazil menjuarai Piala Dunia pada 2002 – memberi bayangan West Brom telah cuba menghubunginya, dengan kelab itu menyatakan beliau mungkin terpaksa mengendalikan pasukan dalam saingan kelas kedua musim depan.

"Saya amat gemar dengan aksi EPL. Saya sentiasa melihat (kepada EPL) ketika saya berada dalam dunia media dan mungkin saya akan bersaing dalam EPL musim depan," katanya.

"Tidak, maafkan saya, divisyen kedua (Liga Kejuaraan). Saya telah menerima tawaran dan cuba memahami apa yang dikehendaki kelab.

"Buat masa ini, mereka beraksi dalam EPL tetapi saya berasakan mereka akan disingkirkan ke divisyen kedua.

"Saya mungkin menerima tawaran ini tetapi saya masih lagi menerima beberapa tawaran daripada Emiriah Arab Bersatu dan China, jadi saya perlu berfikir terlebih dahulu."