B DORTMUND 2 REAL MADRID 2

Andre Schurrle muncul wira Borussia Dortmund untuk membantu pasukannya meraih satu mata dalam aksi kedua peringkat kumpulan Liga Juara-Juara berdepan Real Madrid yang berkesudahan 2-2 di Signal Iduna Park, awal pagi tadi.

Dortmund berada di tahap terbaik menjelang perlawanan ini selepas memenangi empat perlawanan berturut-turut, termasuk membenam Legia Warsaw, 6-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan F manakala Madrid sekadar seri dalam dua aksi domestik.

Walaupun skuad bimbingan Zinedine Zidane tidak tewas dalam 22 perlawanan Liga Juara-Juara, kekalahan terakhir mereka kepada Dortmund adalah pada Oktober 2012.

Skuad kendalian Thomas Tuchel bolos pada awal perlawanan apabila Cristiano Ronaldo membuka jaringan pada minit ke-17, Gareth Bale berjaya mencari Ronaldo untuk meledak gol ke-95 di pentas ini.

Pierre-Emerick Aubameyang kembali menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama, dengan kesilapan pertahanan, Raphael Varane, tidak disia-siakan oleh pemain kebangsaan Gabon itu.

Bersambung pada babak kedua perlawanan, Varane berjaya menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol pada minit ke-68.

Kedua-dua pasukan melancarkan serangan untuk menambah jaringan, namun tuah lebih memihak pasukan tuan rumah apabila Schurrle melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol, Keylor Navas, pada minit ke-87 untuk memberikan satu mata buat Dortmund.