Schalke mengumumkan telah menandatangani pemain baru keempat mereka untuk musim akan datang selepas menyempurnakan perjanjian dengan penyerang Union Berlin, Steven Skrzybski, menerusi kontrak tiga tahun.

Skrzybski, yang juga penyerang serba boleh, menikmati kempen terbaiknya daripada segi gol pada 2017-18, dengan menjaringkan 14 gol daripada 29 penampilan dalam divisyen kedua Jerman.

Perpindahan tersebut menyaksikan pemain berusia 25 tahun itu menyertai kelab yang diminati sejak zaman kanak-kanaknya dan laporan mendakwa ia menelan belanja Schalke sebanyak € 3.5 juta (RM16 juta).

Jurulatih Schalke, Domenico Tedesco, memuji prestasi penyerang itu, sambil turut menyerlahkan fakta bahawa dia boleh berada dalam beberapa posisi.

"Steven Skrzybski adalah salah seorang pemain divisyen kedua terbaik musim lalu," kata Tedesco kepada laman web kelab itu. "Kami gembira kerana dia telah memilih Schalke.

"Dia adalah penjaring gol, selalu memberikan 100 peratus dan sangat dinamik dalam permainannya. Sebab itulah, Steven dapat digunakan dalam pelbagai posisi berbeza."

Skrzybski menambah: "Saya adalah peminat tegar Schalke sejak kanak-kanak. Saya harap saya dapat melakukan peranan saya bagi memastikan kami berjaya musim depan. Saya tidak sabar untuk bermula."

Dia menyertai Mark Uth, Salif Sane dan Suat Serdar yang tiba di Schalke bagi musim 2018-19.