Saya tidak tahu bagaimana Ramos lakukannya -- Morata


Disember 11, 2016 01:38 MYT
Penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, menjulang kapten kelab itu, Sergio Ramos, yang sekali lagi muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit akhir perlawanan berdepan Deportivo La Coruna dalam saingan LaLiga.
Deportivo menjadi mangsa kedua Ramos selepas pemain pertahanan itu turut meledak gol pada minit akhir bagi memastikan satu mata dikutip berdepan Barcelona dalam pertemuan El Clasico minggu lalu.
Namun, beraksi di laman sendiri kali ini, Ramos memastikan skuad kendalian Zinedine Zidane mengesahkan kutipan tiga mata meskipun ketinggalan 2-1 dengan perlawanan berbaki enam minit.
Morata membuka tirai jaringan pada minit ke-50 sebelum Joselu meletakkan Deportivo di depan menerusi dua gol.
Bagaimanapun, Real kembali menyamakan kedudukan menerusi Mariano Mejia sebelum Ramos muncul wira pada masa kecedearaan.
"Sukar untuk dipercayai. Saya berharap Ramos meneruskan keajaiban itu selama-lamanya. Ia umpama kisah dongeng," Morata memberitahu realmadrid.com.
"Kami tidak akan mengharapkan gol pada minit akhir dalam perlawanan seterusnya tetapi saya berharap dia akan meneruskan aksi itu.
"Saya berharap dia akan terus menjaringkan gol pada minit akhir kerana keupayaannya itu telah menghadirkan kejuaraan sebelum ini. Kami sebagai pemain tidak tahu bagaimana dia melakukannya."
Kemenangan tersebut meletakkan Real kini melakar rekod baru dengan 35 perlawanan tanpa kalah dan Morata berharap mereka mampu meneruskan momentum itu menjelang aksi Piala Dunia Kelab.
"Saya sangat gembira berada di sini tetapi kami perlu menjuarai LaLiga musim ini."