Andrea Pirlo tidak berniat untuk meletak jawatan selaku ketua jurulatih Juventus selepas harapan Bianconeri layak ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan berdepan tamparan semalam.

Juve tewas 3-0 kepada Milan menyaksikan mereka jatuh ke tangga kelima Serie A dengan berbaki tiga perlawanan merebut empat kedudukan terbaik.

Ia merupakan kali pertama Juve tewas di laman sendiri kepada Rossoneri sejak Mac 2011, sementara menjadikan perlawanan pertama mereka dibolosi tiga gol di tempat sendiri kepada Milan sejak January 2010.

Pirlo mengharungi musim pertama yang mengecewakan mengendalikan Juve selepas menggantikan Maurizio Sarri. Bukan hanya mereka melepaskan kejuaraan sembilan kali berturut-turut kepada Inter, tetapi mereka terkeluar daripada UCL pada peringkat pusingan 16 di tangan Porto.

Walaupun keputusan sudah tidak lagi ditangannya, pengendali tahun pertama Pirlo menegaskan dia tidak berancang untuk mengundur diri.

"Tidak, saya tidak akan berundur," katanya kepada Sky Sport Italia. "Saya mengambil peranan ini dengan penuh semangat di tengah kesulitan tertentu.


"Saya berada di kelab ini. Masih ada tiga perlawanan lagi, jadi saya akan terus melakukan kerja saya selagi saya dibenarkan."

Brahim Diaz membuka gol dalam babak pertama sebelum Franck Kessie melepaskan peluang untuk menggandakan kelebihan, ketika Wojciech Szczesny melakukan kesilapan menjatuhkan pemain lawan.

Pemain gantian, Ante Rebic dan Fikayo Tomori melengkapkan kemenangan pertama Serie A menentang Bianconeri sejak Mac 2011 dalam 12 minit terakhir.