"Saya tabik kepada pasukan ini. Ia sebenarnya perlawanan yang sengit. Barisan serangannya kuat, pantas dan tidak mudah berputus asa."

Itu hamburan pujian jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, terhadap pasukan muda Sarawak selepas aksi di Stadium Negeri, semalam.

Menurutnya, biarpun JDT menang 2-0, ia bukan sesuatu yang mudah bagi anak-anak buahnya.

"Saya kagum, kerana di sebalik usia muda mereka (Sarawak), mereka tahu bagaimana hendak bermain dengan gaya mereka sendiri.

Katanya, anak buah David Usop sebenarnya sebuah pasukan yang sukar untuk ditewaskan.

"Kami amat bertuah kerana dalam tempoh 15 minit terawal, pemain-pemain Sarawak gagal memanfaatkan peluang. Mereka begitu mencabar. Sukar untuk kami menang jika mereka bermain seperti 15 minit pertama itu."

Tambah Mora, Sarawak mungkin tidak banyak memegang bola tetapi mereka mencabar dengan hantaran jauh setiap kali berkesempatan.

"Pergerakan pantas mereka amat berbahaya. Tetapi inilah kami, JDT. Semua pasukan yang dilawan akan beranggapan ia umpama aksi perlawanan akhir.

Mora berkata dia gembira kerana anak-anak buahnya telah melaksanakan tugas dengan baik.

"Kami menang berturut-turut tiga perlawanan terakhir dan telah menyumbat lapan gol. Kami kini sedang berada di landasan yang tepat."

"Bukan gembira untuk saya secara peribadi tetapi ia penggalak yang baik agar pemain memberi lebih 100 peratus tumpuan dan kudrat.

"Kami tahu JDT tidak boleh kalah dan ia berlaku pada hari ini (semalam). Saya amat gembira dengan prestasi anak-anak buah saya."

Kemenangan di Kuching meletakkan JDT dalam petak saingan tiga pasukan teratas Liga Super 2017.