Pemain sayap Perancis, Kingsley Coman, menegaskan Piala Dunia "bukan satu masalah" ketika dia menyasarkan untuk kembali beraksi bersama Bayern Munich sebelum penghujung musim ini.

Penyerang berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan ligamen pada buku lali kiri ketika Bayern seri 0-0 dengan Hertha Berlin di Allianz Arena pada 24 Februari lalu.

Coman dijangka terlepas baki perlawanan musim ini selepas menjalani pembedahan tetapi dia berharap untuk kembali beraksi dalam masa terdekat, dengan berbaki dua perlawanan -- Cologne (tempat lawan) dan menerima kunjungan Stuttgart -- sebelum aksi final DFB-Pokal berdepan Eintracht Frankfurt pada 19 Mei ini.

"Saya semakin pulih," kata Coman.

"Saya mungkin kembali beraksi berdepan Stuttgart. Saya pasti boleh beraksi dalam aksi final (DFB-Pokal)."

Kebangkitan Coman bersama Bayern akan membenarkan dia membuktikan tahap kecergasannya kepada Didier Deschamps menjelang saingan Piala Dunia di Russia.

Pemain Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus ini memainkan peranan penting dalam saingan kelayakan, termasuk kemenangan 1-0 ke atas Wales dalam aksi persahabatan.

"Piala Dunia bukan masalah buat saya. Saya akan cergas dalam tempoh yang ditetapkan."