Wira Sevilla, Wissam Ben Yedder, meraikan hari yang indah selepas pasukannya menyingkirkan Manchester United 2-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah di Old Trafford, awal pagi tadi.

Ben Yedder masuk dari bangku simpanan untuk menjaringkan sepasang gol dan mengangkat Sevilla untuk memenangi perlawanan kedua pusingan 16 itu.

Keputusan itu hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam perlawanan pertama dan Ben Yedder gembira untuk pasukan LaLiga itu yang mara ke suku akhir buat kali pertama dalam pertandingan kelab terbaik Eropah itu.

"Saya gembira, sangat gembira. Ini malam yang indah. Kami tahu ia bukan mudah menentang Manchester United, terutama di Old Trafford," kata pemain Perancis itu.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan emosi saya. Ia adalah impian sejak kecil untuk menang dengan pemain ternama, pasukan besar seperti Manchester United.

"Kami mengecap kejayaan ini. Kami mencipta sejarah kelab, ini kali pertama kami mara ke suku akhir Liga Juara-Juara," katanya.

Ben Yedder diperkenalkan pada minit ke-72 dan penyerang itu dengan pantas memberi impak dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit selepas baru dua minit bermain.

Sementara itu, pemain berusia 27 tahun berkenaan menolak dakwaan yang mengatakan dia mempunyai masalah dengan jurulatih Sevilla, Vincenzo Montella.

"Ini rumi, tetapi ia adalah sebahagian daripada kehidupan -- bermain, menjadi pemain gantian, menunggu masa bermain. Kadang-kadang kesabaran terbayar. Itulah yang saya fikirkan," kata Ben Yedder.

"Semua orang kata ada masalah di antara saya dan jurulatih, sebenarnya tiada masalah. Dia membuat saya kembali, dia mempercayai saya dan saya membalasnya seperti yang saya mampu lakukan.

"Saya selalu menutup mulut dan hanya bekerja. Jurulatih gembira, saya gembira," ujarnya lagi.