Gareth Southgate berjenaka dia lega penyokong England mencemuh pemain lawan berbanding pasukannya selepas Virgil Van Dijk diejek ketika separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA.

Lima hari selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah bersama Liverpool, bek tengah Belanda, Van Dijk, menjadi sasaran penyokong England setiap kali dia memegang bola dalam aksi di Guimaraes, Khamis lalu.

Namun, tidak menyalahkan tindakan peminat England itu, Southgate berasa ia sesuatu yang positif apabila lawan menjadi sasaran berbanding pasukannya, sama seperti kelayakan Piala Dunia di Malta, dua tahun lalu.

"Saya gembira mereka mencemuh lawan sekarang berbanding mengejek kami apabila aksi bermula," katanya.

"Kami mempamerkan perkembangan. Berbanding apa yang berlaku di Malta, jika Van Dijk perlu melaluinya sedikit, ia adil."

Pertahanan England, Joe Gomez, mempersoalkan mentaliti mereka yang menjadikan rakan sepasukannya di Liverpool itu sebagai sasaran tatkala ia tidak memberi kesan kepada The Three Lions.

Gomez memanaskan bangku simpanan ketika pasukannya tewas 3-1 dalam masa tambahan dan dia berkata: "Saya tidak tahu dari mana ia datang. Saya tidak melihat Van Dijk melakukan sebarang kesalahan. Ia tidak menguntungkan kami sebagai sebuah pasukan.

"Kami mendapatkan bola dan bermain seperti biasa. Saya tidak nampak keperluan situasi itu. Mungkin mereka cuma terikut-ikut. Saya tidak fikir ia memberi kesan kepada kami atau cara permainan pasukan."