JUVENTUS 1 AS ROMA 0

Ketua jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mengakui bahawa dia telah melakukan sedikit kerosakan pada awal musim ini tetapi pasukan gergasi Serie A itu sedang menuju ke landasan tepat selepas menewaskan AS Roma awal pagi tadi.

Moise Kean muncul penjaring tunggal ketika Juve menewaskan AS Roma 1-0 di Stadium Allianz, di mana tandukan awal Rodrigo Bentancur terbias ke dahinya sebelum menerjah ke gawang lawan, manakala penjaga gol Juve, Wojciech Szczesny, turut menyelamatkan sepakan penalti Jordan Veretout.

Juve kini telah memenangi empat perlawanan Serie A berturut-turut dan enam dalam kesemua kejohanan walaupun memulakan kempen 2021-22 tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan pertama -- tewas dua kali berturut-turut selepas seri dalam perlawanan pembukaan.

"Kami mempunyai pemain yang lebih sesuai melakukan serangan balas, itu adalah perwatakan mereka, jadi apabila kami cuba menguasai bola, kami akan berasa mengantuk atau tidak selesa," kata Allegri -- yang kembali ke Turin bagi menggantikan Andrea Pirlo -- kepada DAZN.

"Ia satu kemenangan yang penting, satu lagi langkah ke depan dalam kedudukan liga dan perkembangan yang baik bagi musim ini. Kami kehilangan (Paulo) Dybala, (Matthijs) De Ligt, (Adrien) Rabiot, dan (Alvaro) Morata, yang hanya dapat diturunkan pada penghujung aksi, tetapi apabila semua pemain beraksi dengan semangat tinggi, anda tidak akan dibolosi banyak gol.

"Kami mula memperlahankan permainan pada waktu yang tepat tetapi kami juga perlu meningkatkan rentak kami apabila ia diperlukan.

"Saya tidak berbohong, saya mungkin telah melakukan kerosakan pada awal musim ini disebabkan pilihan saya, saya perlu mengenali beberapa pemain dan perwatakan mereka tetapi kami sedang ke arah itu.

"Kami sedar sejak dari awal bahawa ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Roma mungkin layak mendapat keputusan seri tetapi ini adalah perlawanan yang bergantung kepada tuah dan malam ini, kami bernasib baik kerana ia memihak kami.

"Saya perlu katakan bahawa mereka telah beraksi baik dan merupakan antara pasukan terbaik dalam liga ini," katanya.