Pemain termahal kelab, Romelu Lukaku, kembali ke Chelsea sebagai pemain yang lebih lengkap.

Chelsea dilaporkan menghabiskan dana sebanyak £97.5 juta (RM571j) untuk menandatangani semula penyerang itu daripada Inter -- yang pernah dibeli pada usia 18 tahun daripada Anderlecht pada 2011.

Sejak meninggalkan The Blues, Lukaku mengasah sentuhan berbisanya dengan West Brom, Everton dan Manchester United sebelum 24 golnya dalam Serie A musim lalu membantu Inter merangkul gelaran pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.

Pemain berusia 28 tahun itu menghabiskan dua musim dalam Serie A dengan mencetak 64 gol dalam semua kejohanan sejak diangkat sebagai taruhan utama Antonio Conte untuk mengetuai serangan.

"Saya kini berasa lebih lengkap," kata Lukaku kepada laman sesawang rasmi kelab itu malam tadi ketika diminta untuk membandingkan perbezaan di antara dua tempoh khidmatnya di Stamford Bridge.

"Saya telah berusaha untuk menguasai setiap aspek yang diperlukan oleh seorang penyerang dan saya hanya ingin terus memperbaikinya secara berterusan termasuk meningkatkan kekuatan.

"Saya bukan lagi budak mentah yang tidak tahu apa yang diharapkan. Saya tahu kancah ini, saya telah menjaringkan sejumlah gol di sini tetapi ia sudah berlalu dan sekarang kami harus melihat ke depan.

"Saya versi pemain baru. Saya telah berkembang dan pasukan yang saya sertai adalah pasukan yang sangat mantap. Jadi sekarang kami hanya perlu membuktikannya di atas padang dengan mencabar Liga Perdana Inggeris (EPL)."




Lukaku terlepas kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace, Sabtu lalu, dan dijangka bergandingan dengan Werner dalam kunjungan ke Arsenal hujung minggu ini, dalam masa sama pemain antarabangsa Belgium itu gembira mendapat tunjuk ajar Thomas Tuchel.

"Tuchel mahukan saya memberi kesan di sini dan menjadi pemimpin dalam pasukan," kata Lukaku.

"Saya hanya perlu menggunakan segala kemampuan saya demi memastikan saya dapat membantu pasukan sebanyak mungkin.

"Saya seorang pemimpin tetapi saya juga lebih hebat daripada itu bagi memastikan semua orang berasa selesa dan yakin. Itulah cara saya memimpin.

"Saya suka sistem yang kami terapkan dan saya sangat serba boleh. Saya mampu menyerang berdua atau bersendirian kerana saya sudah biasa dengan sistem ini. Itulah yang kami mainkan dengan pasukan kebangsaan Belgium, jadi saya tidak memerlukan banyak masa untuk menyesuaikan diri.

"Hanya dengan mengenali kekuatan rakan sepasukan saya di posisi penting dan mengetahui apa yang kami lakukan dengan bola, maka saya boleh bertindak selebihnya."