Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, mempertahankan keputusannya untuk membiarkan Donny van de Beek di bangku pemain simpanan ketika Manchester United mencatatkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Villarreal dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi kelmarin.

Pemain tengah Belanda itu kelihatan melemparkan gula-gula getah yang dimakannya dan terpaksa ditenangkan rakan sepasukannya selepas Fred dan Jesse Lingard dipilih untuk dimasukkan ketika perlawanan terikat 1-1 pada minit terakhir di Old Trafford.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya beraksi selama 141 minit musim ini selepas hasratnya untuk meninggalkan kelab itu dihalang dalam jendela perpindahan lalu.

Solskjaer,bagaimanapun, berkata dengan keadaan skuadnya dipenuhi bakat terbaik, amat sukar untuk dia memastikan setiap orang gembira sambil menegaskan berpuas hati dengan sikap profesional Van de Beek.

"Anda tahu saya menguruskan sebuah skuad yang penuh dengan pemain antarabangsa, pemain yang kompetitif, yang mahu melakukan sesuatu yang berbeza, yang mahu bermain," kata Solskjaer kepada wartawan.

"Mereka semua mahu beraksi di atas padang, sudah pasti mereka mahukannya.

"Donny sudahpun mendapat peluangnya, sama seperti pemain lain. Saya mungkin pernah menjadi pemain gantian lebih banyak berbanding orang lain dalam kelab ini -- saya pasti memegang rekod sebagai pemain gantian paling banyak dimasukkan -- dan anda perlu bersedia setiap masa. Saya juga pernah tidak berpuas hati beberapa kali tetapi itulah keputusan yang ditentukan pengurus.

"Alex Telles dikeluarkan dari posisi pertahanan kiri dan Fred melakukan tugasnya dengan amat baik. Jadi, saya faham kekecewaannya, sudah pasti, setiap pemain mahu bermain, ia seharusnya mencetuskan tenaga dan keazaman apabila anda dimasukkan dan membuktikannya kepada saya.

"Bukan hanya Donny, saya ada ramai pemain daripada pelbagai negara dan jika kami mahu berjaya, kami memerlukan tenaga positif, bukan membazirkan tenaga.

"Donny tidak pernah menjejaskan rakan sepasukannya secara negatif. Apabila saya melihat ada pemain yang menjejaskan pasukan secara negatif, senarionya akan berbeza dan saya mungkin akan menjadi lebih tegas," katanya.

United seterusnya akan menantikan kunjungan Everton bagi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford malam ini.