"Selepas ini tiada siapa boleh menghalang bapa daripada menyaksikan saya beraksi di atas padang," kata penyerang Petaling Jaya City, Kogileswaran Raj, yang kehilangan seorang sandaran utama dalam karier bola sepaknya pada Ahad lalu.

Lebih meruntun jiwa, Kogileswaran menjadi saksi betapa penyakit angin ahmar meragut nyawa bapanya, Mohana Raj, pada usia 53 tahun.

"Dia (bapa) memang sudah tidak sihat sejak 2014. Pada 2014, dia pernah kena serangan jantung," katanya kepada Nadi Arena.

"Tahun lalu, dia kena angin ahmar ringan. Dua minggu lalu, ketika kami satu keluarga sedang duduk berbual, secara tiba-tiba, di depan mata kami, dia diserang angin ahmar.

"Sejam sebelum dia meninggal dunia, saya masih ingat dia bertanyakan kepada saya pasukan mana yang saya akan sertai tahun ini.

"Dua minggu sebelum itu, saya telah membuat keputusan mengenai pasukan mana yang akan disertai tetapi saya tidak mahu memberitahunya kerana mahu menunggu secara rasmi dan membawa keluarga saya keluar makan malam.

"Dua hari sebelum saya tandatangani (kontrak), dia diserang angin ahmar.

"Apa yang menyedihkan saya adalah saya tidak sempat memberitahunya pasukan mana yang saya akan sertai," katanya.

Kogileswaran turut mengakui bahawa bapanya merupakan penyokong nombor satunya selama ini dan kehilangan itu merupakan satu tamparan besar buat dirinya.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia akan bertanya pada setiap hari perlawanan sama ada dia boleh datang (menonton) atau tidak? Saya kata memang tak boleh.

"Tahun depan memang kita tahu 10 peratus kehadiran penonton dibenarkan ke stadium.

"Sebelum ini memang dia tidak dapat masuk (ke stadium) tetapi selepas ini, tiada siapa dapat menghalangnya untuk masuk.

"Mungkin bukan sebagai penonton tetapi sebagai pelindung saya di atas padang.

"Saya sedar saya memerlukan masa untuk mengatasinya (perasaan sedih) tetapi saya pasti saya dapat mengatasinya sebelum perlawanan bermula," katanya lagi.

Mohana Raj meninggalkan seorang balu dan empat orang anak hasil perkahwinan selama 27 tahun bersama isterinya, Parameswary.