Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri, percaya beliau dan pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino, perlu memenangi gelaran jika mahu meninggalkan legasi bersama kelab masing-masing.

Pochettino membentuk Spurs menjadi skuad utama kelab Inggeris menyertai saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan kekal dalam persaingan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas hanya ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Impaknya lebih hebat lagi apabila Spurs sering kali diatasi oleh pencabar utama dalam mendapatkan pemain ketika jendela perpindahan.

Bagaimanapun, kritikan sentiasa diberikan kepada Pochettino kerana beliau masih lagi gagal meraih sebarang gelaran bersama Spurs dan Sarri berkata pengendali kelahiran Argentina itu akan memasang sasaran untuk menjulang satu gelaran musim ini, sama seperti apa yang perlu dilakukannya bersama Chelsea.

"Saya bersetuju kerana Pochettino adalah seorang jurulatih yang bagus, salah seorang yang terbaik buat masa ini. Saya juga bersetuju beliau perlu memenangi gelaran, saya berharap bukan gelaran ini," kata Sarri menjelang aksi separuh akhir pertama Piala EFL berdepan Spurs.

"Saya berasakan ia adalah sama bagi saya. Pochettino sudah bersama Tottenham sejak empat tahun lalu dan saya baru sahaja enam bulan, saya bersakan musim pertama amat sukar buat semua.

"Bagi Pochettino, empat tahun, bagi Jurgen Klopp, empat tahun (tanpa trofi). Ia juga merupakan perjalanan yang sukar buat pengurus Mancheser City, Pep Guardiola. Jadi, ia amat diperlukan untuk membentuk pasukan berkualiti di England," ujarnya.

Chelsea gagal mencari jalan ketika tewas kepada Spurs 3-1 dalam aksi di Wembley, November lalu, dan Sarri mengakui mula menyedari ketegangan yang perlu dihadapi untuk perlawanan di antara kedua-dua pasukan itu.

"Saya bertemu pemain-pemain saya dalam bilik persalinan selepas perlawanan itu. Mereka telah ditewaskan dan saya mula menyedari kepentingan perlawanan itu buat kelab, penyokong serta pemain-pemain."

Sarri turut menjelaskan pasukannya sudah mula mendapatkan keazaman sejak kekalahan tersebut.

"Saya dapat berasakan corak permainan Chelsea kini lebih baik dan pemain-pemain bersedia menghadapi sebarang tekanan. Saya yakin mereka sudah bersedia berdepan Spurs untuk aksi seterusnya."